Cepat sungguh masa berlalu. Sekarang sudah masuk hari ke lapan hari raya. Kawan-kawan, ramai yang telah mula bekerja. Terasa malas pula untuk mula bekerja. Keenakan duduk di rumah terus terasa di dalam hati. Banyak kerja rumah yang perlu dibereskan. Ketiadaan pembantu rumah semenjak bulan Februari tempoh hari perasaan ini rasa seronok pula membuat kerja-kerja rumah. Kalau dulu, semua kerja siap dibereskan oleh pembantu rumah. Memang penat, terutama sekali bila anak-anak juga tiada di rumah untuk membantu.
Hari raya tahun ini agak berbeza sikit kalau dibandingkan dengan tahun-tahun lepas. Shu beraya di rumah mertua buat pertama kali. Tidak pasti apa perasaannya kerana diri ini tidak pernah melalui keadaan begitu. Rumah mertua dekat sekali dengan rumah orang tua. Bahiyah seperti biasa berada di Moscow. Ini merupakan hari rayanya yang keempat. Sedih? Sudah pasti walau pun sepatutnya hati ini sudah lali dengan keadaan itu. Yang tinggal di rumah hanya tiga orang - Mardhiah, Zabid dan Radhiah. Mujur mereka bertiga ada bersama. Kalau tidak, tak tahu bagaimana untuk membendung hati dan perasaan ini.
Persiapan hari raya dibuat serba sederhana. Bila anak sudah dewasa, mereka akan membuat persiapan sendiri walau pun kadang kala mereka mengajak juga mama dan bapak mereka untuk membeli pakaian. Tetapi tahun ini kerana perbelanjaan yang besar sudah dibuat semasa majlis perkahwinan Shu, tiada lagi baju baru dibuat untuk mereka. Mujur mereka faham dengan keadaan ekonomi keluarga.
Sebenarnya, hari raya adalah mengenai keluarga. Kalau anak-anak dan pasangan kita tidak ada, hari raya tidak membawa apa-apa makna. Hati dan perasaan akan merasa hambar. Hari raya adalah hari kemenangan kita melawan nafsu. Tetapi bulan Ramadhan yang sebenarnya membawa lebih banyak makna ke dalam diri. Terasa sedih bila mengerjakan sembahyang terawih buat kali terakhir pada tahun ini. Kita terpaksa menunggu setahun lagi sebelum Ramadhan menjelang semula. Bulan yang penuh dengan rahmat dan pengertian. Seperti tahun-tahun yang lepas, saya dan suami mengerjakan sembahyang terawih di rumah. Seronok kerana dapat mengerjakan amalan itu dengan penuh tekun dan keinsafan. Alhamdulillah, tahun ini sembahyang terawih dapat dikerjakan sepnenuhnya.
Mudah-mudahan Allah memanjangkan lagi usia dan memberi kesihatah yang baik kepada kami untuk menjalankan amalan ini pada tahun-tahun akan datang. TanpaNya, siapalah kita sebenarnya.
0 comments:
Post a Comment