Perhubungan Adik Beradik

Membesarkan anak-anak memerlukan kesabaran dan kefahaman. Tetapi tiada siapa pun di dunia ini yang dapat memberi kita ramuan yang terbaik bagaimana untuk membesarkan anak-anak. Kebanyakan ibubapa hanya menggunakan 'instinct' untuk mendidik anak-anak mereka menjadi orang yang berjaya. Begitu juga dengan mama dan bapa dalam mendidik anak-anak semua.
Kami cuba cara yang telah diajar dan diturun oleh ibu bapa kami, dengan harapan anak-anak akan menjadi seperti mana kami menjadi. Tetapi kami sedar, dunia kini sudah berubah. Kalau dulu kami dibesarkan dengan zaman sains tetapi anak-anak kini dibesarkan dalam zaman teknologi. Pengaruh yang dihadapi juga berbeza, tidak sama seperti mana mama dan bapak alami dulu. Kalau dulu, satu kampung itu 'padang' permainan kami, kini untuk anak-anak keluar dari kawasan halaman rumah sahaja telah cukup untuk membimbangkan kami. Persekitaran telah berubah. Pengaruh juga telah menjadi semakin mencabar. Kalau dulu, atuk dan nenek tidak tahu langsung apa-apa yang dilakukan oleh mama. Mereka tahu segalanya baik sahaja. Tetapi sekarang, dengan ibubapa yang semakin bijak dan pandai, anak-anak juga mesti bertambah bijak dan pandai untuk mempastikan ibubapa tahu perkembangan anak-anak.
Kalau dulu, atuk dan nenek tidak pernah ambil tahu apa yang mama buat. Tetapi setiap saat dan waktu, mama akan pastikan apa yang mama lakukan tidak akan menyakitkan hati mereka. Mereka tak perlu beritahu yang mereka sebenarnya ambil berat pasal mama, tetapi mama tahu yang mereka memang mengambil berat. Harapan mereka tinggi menggunung. Walau tidak pernah sepatah pun perkataan 'sayang' yang keluar dari mulut mereka, mama tahu mereka sayang mama. Mereka tak perlu peluk atau cium mama setiap hari. Tetapi mama tahu kasih sayang mereka tak pernah berbelah bagi. MEreka sanggup laku apa sahaja untuk memastikan yang mama akan berjaya. Bagaimana untuk tidak memenuhi kehendak mereka yang ingin melihat anak mereka berjaya? Mereka risau? Sentiasa!!! Tetapi setiap kali kerisauan itu diredakan dengan kejayaan anaknya, kerisauan itu hilang.... membawa kebahagiaan yang berpanjangan.
Tiada ganjaran yang diingini oleh ibubapa dari seorang anak, melainkan ingin melihat anak-anak mereka berjaya. Memang kejayaan adalah sesuatu yang sangat subjektif. Adakah kejayaan itu bermakna mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan? Kalau itu yang dikatakan kejayaan, memang sukarlah untuk memenuhi kejayaan itu. Bukan itu yang dimaksudkan. Kejayan mungkin membawa ertikata yang berbeza kepada orang yang berbeza. Tetapi bagi mama, kejayaan itu bergantung kepada definasi masing-masing. Seseorang itu mungkin telah memperolehi wang berjuta tetapi masih tidak puas hati.... itu bukan kejayaannya lagi. Bagi mama, kejayaan itu ialah apabila anak-anak berjaya mencapai apa yang dicitakan. Tak kiralah apa yang dicitakan!!!
Mama dan bapak tidak akan berada di dunia ini untuk selama-lamanya. Kami ingin pastikan apabila kami tiada lagi nanti, anak-anak merasa puas dengan apa yang dikejarkan selama ini. Jangan jadikan wang ringgit sebagai ukuran. Jadikan kebahagian hidup itu satu matlamat. Apabila kita bahagia, kita boleh membuat segala amal ibadat, segala pekerjaan, segala apa yang kita inginkan. Fikiran kita juga akan lebih positif, tiada sikap prasangka terutama sekali sesama adik beradik.
Hubungan yang baik antara adik beradik amat perlu. Yang tua mesti sentiasa mengambil berat tentang yang muda dan yang muda pula mesti sentiasa menghormati yang tua. Sikap bertolak ansur tanpa mementingkan diri sendiri amat penting. Apabila anak-anak suka mementingkan diri sendiri, hubungan sesama sendiri akan pincang. Apabila pincang, maka mudahlah anak-anak mencari jalan keluar.... meluahkan rasa tidak puas hati dan sebagainya kepada orang asing. Sungguh menyedihkan hati dan perasaan mama dan bapak sekiranya itu yang berlaku. Ambil berat antara satu sama lain kerana hubungan yang sepatutnya paling rapat ialah hubungan adik beradik. Kita tidak boleh bertukar adik beradik. Kita boleh bertukar kawan. Kawan datang, kawan pergi. Bila kita bertukar tempat, kita juga bertukar kawan... Adik beradik? Untuk selama-lamanya... sehingga kita mati.
Hubungan adik beradik ini sama seperti kita menanam pokok. Kita mesti baja, cantas, buang rumput dan semak yang sentiasa melata disekelilingnya. Kalau kita biarkan pokok yang kita tanam itu, enam bulan lagi, bila lihat semula, kita tidak akan kenal lagi dengan pokok kita itu! Pokok itu sudah jadi pokok hutan!! Begitulah hubungan kita sesama adik beradik. Kita mesti sentiasa memupuk perasaan kasih sayang.... kerana mereka lah yang menjadi tempat pertama kita mengadu sekiranya kita mempunyai masalah nanti.... bila kita dah meningkat dewasa. Kawan-kawan? Ketika itu nanti, baru kita kenal siapa kawan kita nanti!!!
Seorang kawan bapak menceritakan perihal keadaan mereka semasa mereka susah. Kawan-kawan yang rapat, semuanya melarikan diri. Kalau tidak ada adik beradik yang membantu, mereka tidak tahu bagaimana untuk mengharung hidup mereka lagi. Suaminya mengidap penyakit yang doktor tidak tahu apa puncanya. Dia dibuang kerja. Dari duduk dirumah banglo, mereka terpaksa merempat di rumah adik beradik. Mujur semasa mereka senang, suaminya banyak membantu adik-adiknya. Semua harta benda mereka habis dijual kerana ingin mencari wang untuk menampung kos perubatan suami. Adik beradiklah membantu membesarkan anak-anaknya, memberi tempat tinggal dan makan minum.
Ambillah berat antara satu sama lain. Hati mama dan bapak merasa gembira sekiranya tahu yang anak-anak mengambil berat antara satu sama lain. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Ingat..... setiap kebaikan yang kita buat, tuhan akan membalasnya... begitu setiap kejahatan yang kita lakukan. Tuhan akan membalasnya!! Jangan ambil sikap tak suka ambil tahu pasal adik beradik yang lain. Kadang kala sikap 'penyibuk' ini penting juga kerana ada anak-anak yang tidak suka beritahu perkembangan dirinya kepada orang lain. Senyap sahaja....membuat mama dan bapak risau sentiasa. Kita tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas adik beradik kita dan kita menjadi orang yang terakhir mengetahuinya. Bukankah pelik itu??? Kita buka duduk di hutan. Kita hidup dikalangan masyarakat. Sekiranya kita bersikap begitu baik dengan kawan-kawan dan orang yang kita tidak kenal, mengapa kita boleh bersikap demikian untuk adik beradik kita? Sepatutnya kita mengambil sikap "bila orang cubit di bahu kanan, bahu kiri terasa sakit juga".

0 comments: